Keputusan Mahkamah Syed Saddiq mengejutkan ramai pihak

MAHKAMAH Persekutuan mengekalkan sabitan bebas terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Isnin atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Keputusan itu sekali gus mengakhiri penantian enam tahun bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam usaha membersihkan namanya daripada tuduhan tersebut.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abd Bakar Jais, bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequoyah menyampaikan keputusan rayuan akhir sebentar tadi.

Keputusan itu dibuat selepas panel mendengar hujah daripada kedua-dua pihak pada Disember tahun lepas.

Dalam keputusan majoriti 2-1, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kekhilafan apabila membenarkan rayuan Syed Saddiq pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel berkenaan memberikan penghakiman berbeza.

Che Mohd Ruzima dan Sequerah memutuskan tiada kesilapan undang-undang atau prosedur yang boleh dijadikan asas untuk membenarkan rayuan pendakwaan.

Dengan keputusan itu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *